SELANGOR

Sultan berkenan Selangor kekal destinasi pelaburan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan apabila Selangor terus menjadi pilihan destinasi pelaburan oleh syarikat-syarikat terkemuka dunia.

Baginda bertitah, antaranya kilang Sony EMCS di Bangi yang merupakan antara kilang pengeluar TV LED Sony terbesar di dunia dan juga menjadi satu-satunya pusat kajian dan pembangunan bagi produk TV Sony di luar Jepun.

“Manakala syarikat IKEA daripada Sweden pula sedang membangunkan pusat pengedaran serantau ketiga terbesar di dunia yang terletak di Pulau Indah.

“Sementara itu, di Bukit Raja, syarikat Toyota melancarkan ‘first line off vehicle’ dari kilang mereka yang terbaru yang menggunakan teknologi pembuatan kereta tercanggih di dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Ucapan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Baginda bertitah, syarikat Hartalega sebagai pengeluar sarung tangan nitrile terbesar di dunia dengan keupayaan mengeluarkan lebih 30 bilion sarung tangan setahun turut dibuka di Sepang.

Baginda turut melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor dengan kerjasama MIDA dan MATRADE dapat mempertingkatkan lagi inisiatif membawa masuk pelaburan besar ke Selangor.


Pengarang :