PBTSELANGOR

1,000 penduduk bantah projek Subang Ria Park

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 16 APR: Seramai lebih kurang 1,000 penduduk sekitar Subang Ria Park membantah projek taman rekreasi yang dibangunkan sejak 1988 untuk dikomersialkan pemaju.

Pengerusi Persatuan Subang Jaya, Ir Naicker berkata, mereka mengambil langkah awal dengan membuat bantahan supaya pihak pemaju lebih peka terhadap penduduk di sini.

 

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa mengambil inisiatif serta tindakan kepada pemaju di Subang Ria Park supaya ia menjadi sebahagian daripada tempat awam.

“Penjagaan dan penambahbaikan fasiliti akan lebih terjamin jika Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambilalih kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pandangan sama turut dikongsi Pengerusi Persatuan Kejiranan Wangsa Baiduri, Hanif Gordon berkata, pemaju harus kekalkan perjanjian yang sudah termaktub dahulu.

“Kini, pemaju kembali untuk pembangunan komersial dan penduduk akan mempertahankan taman rekreasi ini,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas sidang media pendengaran bantahan rancangan tempatan di Majlis Perbandaran Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Mengulas lanjut, Michelle berkata, taman rekreasi itu penting untuk keluarga dan masyarakat bagi membina hubungan bersantai.

“Kita perlu menggalakkan aktiviti sedemikian untuk mengekalkan masyarakat yang sihat. Justeru, kita harus memelihara ruang rekreasi ini,” katanya.

Terdahulu, Subang Ria Park seluas 29.39 hektar itu bakal dikomersialkan namun penduduk sekitar kawasan terbabit membantah projek berkenaan.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :