NASIONAL

Inkues Adib bersambung Selasa depan

SHAH ALAM, 12 APR: Prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijadualkan berakhir hari ini akan bersambung semula selama empat hari bermula Selasa depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memberitahu Mahkamah Koroner prosiding hari ini tidak dapat diteruskan berikutan saksi ke-29, bekas Pakar Perundingan Kanan dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, tidak hadir kerana hanya disapina untuk tiga hari sahaja bermula Selasa lalu.

“Dr Shahrom masih diperlukan dalam pemeriksaan lanjut oleh pegawai pengendali, Hamdan Hamzah.

“Selepas Dr Shahrom, berkemungkinan pakar forensik Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood (dipanggil) namun ikut turutan,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di sini, hari ini.

Faten Hadni berkata, sapina yang diberikan kepada Dr Shahrom untuk hadir ke mahkamah berakhir semalam dan sapina baharu akan dikeluarkan kepadanya.
Rofiah kemudiannya menetapkan tarikh baharu inkues selama empat hari bermula 16, 17, 19 dan 22 April.

Beliau juga mengingatkan supaya pegawai penyiasat membuat permohonan sapina terhadap saksi bagi prosiding akan datang.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :