SELANGOR

Rakam ceramah politik di masjid, buat aduan – MB

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Kerajaan Negeri mengambil pendirian untuk bertindak sebaiknya dan mengikut prosedur sebenar bagi mengelakkan kontroversi dalam menyelesaikan isu ceramah politik di masjid.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dalam menyelesaikan isu itu perlu bersikap ‘seperti menarik rambut dalam tepung’ dan berusaha mengelak persengketaan.

Bagaimanapun, katanya, jika pihak terbabit berucap menggunakan elemen politik mencerca, menghina dan melampaui batas pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

Malah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut bertegas dalam soal ini dan pernah bertitah ketika majlis penyerahan watikah kepada nazir masjid di Selangor, katanya.

“Kita tidak mahu masjid menjadi medan perpecahan dan politik perpecahan. Kalau selepas ini ada nampak yang berceramah politik melampau boleh rakam dan buat aduan, beri maklumat terperinci, nanti pegawai kita akan datang.

“Kita tahu mereka sedang menunggu kita membuat kesilapan terutamanya mengambil tindakan tanpa prosedur lalu menjadi modal politik mereka. Sebab itu kita perlu ambil tindakan sebaik mungkin demi menjaga keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada penduduk Daerah Kuala Selangor mengenai penceramah yang sering memainkan isu politik di masjid, ketika Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya berharap nazir masjid dapat menguruskan hal terbabit dengan baik tanpa menimbulkan polemik antara masyarakat setempat.


Pengarang :