BERITA UTAMASELANGOR

Selangor kutuk tindakan keganasan di Sri Lanka

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan tidak berperikemanusiaan di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 160 orang, termasuk warga asing.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka, ingatan dan doa saya adalah untuk mereka.

“Tambah menyedihkan apabila insiden itu berlaku ketika penganut agama Kristian menyambut Easter Sunday sehingga ia mencemari hari kegembiraan mereka,” tulis Amirudin menerusi twitternya, semalam.

Semalam, dunia dikejutkan dengan beberapa siri kejadian letupan termasuk di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan.

Kementerian Luar turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian berkenaan dan pada masa sama menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan supaya berhati-hati.

Kementerian luar turut meminta warganegara Malaysia di sana mengikuti perkembangan terkini menerusi laporan berita tempatan dan pihak berkuasa tempatan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi terbabit.

 

 


Pengarang :