SELANGOR

Tawar lebih rumah Idaman kepada penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 6 APRIL: Penawaran Rumah Idaman Selangor bagi penjawat awam akan ditambah baik jika mendapat permintaan tinggi golongan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penawaran 60 unit kepada kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merupakan ‘pilot project’ di Idaman Abadi, di sini.

“Kita akan melihat secara keseluruhan respon dan permintaan terlebih dahulu. Jika berjalan dengan baik, ia boleh dikembangkan lagi ke projek Idaman yang lain.

“Begitu juga dengan lain-lain, kita akan meneliti kos yang lebih efektif dan tawaran harga lebih rendah bergantung kepada pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, walaupun baharu sahaja dilancarkan, projek itu kini menerima lebih 6,000 permohonan.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 3,000 pemohon sudah membayar wang pendahuluan.

“Setakat semalam, jumlah pemohonan sudah melebihi 6,000, ia melebihi sasaran kita, malah 3,000 pemohon sudah membayar wang pendahuluan.

“Ini membuktikan projek itu mendapat respon positif daripada rakyat Selangor,” katanya.

Projek Perumahan Idaman Abadi di Kajang menyediakan 2,059 unit kediaman dengan 70 unit daripadanya diserahkan secara percuma kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :