SELANGOR

Tumpu pembangunan kemanusiaan, sosial bersepadu

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 APR: Selangor hari ini menumpukan pelaburan baharu yang mementingkan nilai kemanusian dan sosial bersepadu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri meneliti pelan perancangan itu kerana Selangor menerima limpahan pembangunan tetapi namun, masih terdapat jurang luar bandar dan bandar.

“Tidak pernah dalam tempoh 10 tahun ini, kita mengurangkan pembangunan. Oleh itu, penting untuk kita mencari pembangunan dengan kehadiran nilai pelaburan baharu seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sesi Town Hall bersama lebih 100 penduduk dan pemimpin masyarakat di Galeri Jualan IJM, di Rimbayu, di sini.

Amirudin berkata, usaha itu juga akan memberi nilai tambah kepada rakyat melalui kluster yang dirancang.

“Sebelum ini, asas sedia ada ini perlu dibangunkan namun mungkin ia tidak disentuh oleh pentadbiran sebelum ini.

“Di Majlis Daerah Kuala Langat, kita akan memberikan perhatian kepada agro tourism, perkilangan, pembuatan dan perkhidmatan.

“Oleh itu, kita memberi ruang pihak berkuasa tempatan untuk meneliti atau meneroka kembali supaya membawa pembangunan dan ia sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata, Selangor secara khususnya dalam tempoh 10 tahun ini banyak dan sedang melaksanakan program kepedulikan kepada rakyat.

“Oleh itu, kita mencuba untuk teruskan aktiviti, program yang memberi nilai tambah kerana mahu memperkasakan rakyat bukan hanya menyuntik sumbangan untuk beri keadaan lebih baik,” katanya.

Pada program itu, beliau turut menerangkan berhubung penjajaran semula program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dijangka akan dimaklumkan dari masa ke masa secara berperingkat.

“Sedang laksanakan, kita sudah bincang dengan teliti dan terperinci pada retreat lalu.

“Kita akan umumkan satu persatu dari masa ke masa supaya penjajaran IPR itu diberi penambahbaikan dan menjurus kepada pemerkasaan serta rancangan juga perancangan program itu kekal pada masa akan datang,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :