NASIONAL

Vaksin meningitis palsu tiada dalam pasaran Malaysia – KKM

KUALA LUMPUR, 12 APR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan vaksin Mencevax ACWY untuk mencegah meningitis jenis A,C,W dan Y, yang dilapor dipalsukan, tiada dalam pasaran Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan ‘Vaccine Lot Release’ mendapati vaksin tersebut dengan nombor kelompok yang dinyatakan dalam kenyataan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 Mac lepas tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat Malaysia.

“Kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport oleh Malaysia ialah pada Julai 2017. Bagaimanapun status pendaftaran vaksin tersebut telahpun luput pada 31 Mei 2018 dan vaksin itu tidak lagi berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),” katanya dalam kenyataan di sini.

WHO telah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai penemuan vaksin Mencevax ACWY yang dipalsukan di Republik Niger pada 28 Mac lepas.

Dr Noor Hisham berkata, bermula 1 Jan 2015, PKBD mensyaratkan ‘Vaccine Lot Release’ dijalankan sebelum vaksin import dipasarkan bagi memastikan produk vaksin tersebut berkualiti, selamat dan berkesan.

Katanya, pihaknya memandang serius isu vaksin palsu dan pemeriksaan dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan tidak ada produk vaksin palsu di pasaran.

Dr Noor Hisham yang juga Pengerusi PBKD turut mengingatkan hospital dan klinik swasta agar membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal berlesen dan tidak terpedaya dengan sebarang penawaran vaksin berharga lebih murah.

“Orang awam boleh menghubungi NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) di talian 03-78835400 sekiranya terdapat vaksin meragukan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :