BERITA UTAMASELANGOR

Pengambilalihan SPLASH: Borhan sangkal tuduhan Abdul Khalid

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah menyangkal tuduhan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang antara lain menuduh Kerajaan Negeri membayar 10 kali lebih banyak daripada nilai sepatutnya kepada pemegang konsesi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat itu dalam kenyataan berkata, pengambilalihan SPLASH dibiayai Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), sebuah agensi Kerajaan Persekutuan dengan jumlah RM1.9 bilion dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan jumlah RM650 juta melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama sembilan tahun.

Katanya, tuduhan mantan Dato’ Menteri Besar itu tidak benar sama sekali kerana pengambilalihan itu tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan daripada Kerajaan Negeri dan distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Selain itu, Abdul Khalid turut menuduh Kerajaan Negeri tidak cermat, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus kewangan negeri. Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

“Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau melaksanakan 14 program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Kemudian, program terbabit diperbaiki dan dipertingkatkan keberkesanannya menjadi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Pada 2014 iaitu tahun terakhir beliau menjadi Dato’ Menteri Besar, Abdul Khalid hanya membelanjakan sejumlah RM278 juta untuk MES berbanding pada tahun lalu di mana Kerajaan Negeri membelanjakan RM628 juta untuk IPR, lebih dua kali ganda lebih besar untuk manfaat rakyat Selangor.

“Ini adalah bukti Kerajaan Negeri menguruskan kewangan negeri dengan cekap, bertanggungjawab dan berhemah serta sentiasa memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.

Pada masa sama, Borhan menyeru rakyat Selangor supaya memberi sepenuh keyakinan kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha gigih untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Langkah penstrukturan semula industri air berjaya memberi manfaat kepada rakyat Selangor. Hasilnya ketika gangguan bekalan air baru-baru ini, Air Selangor berjaya menyelesaikan isu terbabit lebih awal dari jangkaan.

“Langkah efisien ini adalah hasil dari kedudukan Air Selangor sebagai operator tunggal bekalan air selepas penyelesaian penstrukturan industri bekalan air.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa mengutamakan agenda peduli rakyat bagi memastikan kehidupan rakyat Selangor terus makmur dan sentosa,” katanya.

Pada 27 April lalu, Abdul Khalid memuat naik catatan di Facebook yang menyatakan rakyat Selangor mungkin antara paling malang kerana selain pemberian air percuma kepada setiap isi rumah akan dibatalkan, tarif air pula akan dinaikkan.

Beliau mendakwa, hal itu adalah kesan dan akibat langsung daripada tindakan Kerajaan Negeri yang tunduk kepada pemegang konsesi SPLASH dengan membayar RM2.7 bilion iaitu 10 kali lebih banyak dari nilai sepatutnya dalam urusan penstrukturan semula industri air di negeri ini.


Pengarang :