SELANGOR

Selangor cari jalan elak kenaikan tarif air

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Negeri akan mencari jalan terbaik untuk mengelakkan kemungkinan kenaikan tarif air, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang membuat pengiraan berhubung isu itu dan dijangka akan mengumumkan selewat-lewatnya Julai ini.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan tarif itu tidak berkaitan dengan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dijangka beroperasi Ogos ini.

“Tiada kaitan dengan Langat 2, ia hanya berkaitan dengan berapa lama kita tidak naikkan tarif air dan kestabilan kedudukan kewangan negeri.

“Saya sedang membuat pengiraan, apa yang penting kita cuba meminimumkan tekanan jika ada kenaikan tarif,” katanya ketika ditemui selepas program Rapat Ramadan Bersama Penjawat awam, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengurangkan kesan sampingan sebanyak mungkin jika mempunyai lebihan pendapatan.

“Kita akan mencari jalan sebaik mungkin untuk mengelakkan kenaikan, bergantung kepada model perniagaan Air Selangor.

“Saya lebih suka untuk mengurangkan sebanyak mungkin kesan sampingan kerana kita lihat tahun ini ekonomi masih belum pulih,” katanya.


Pengarang :