PBTSELANGOR

Pertandingan tandas bersih MDHS sehingga Ogos

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menganjurkan Pertandingan Tandas Bersih peringkat Daerah Hulu Selangor 2019 bermula Mei sehingga Ogos ini.

MDHS dalam kenyataan berkata, penganjuran itu julung kali diadakan dan bakal dijadikan acara tahunan pada masa akan datang.

“Pertandingan ini dibuka kepada semua premis dan sebanyak lima kategori akan dipertandingkan antaranya stesen minyak, jabatan kerajaan, pusat ibadah, sekolah serta premis makanan.

“Sebagai daerah eko pelancongan, kebersihan tandas amat penting dalam mencerminkan imej sesebuah kawasan dan memberikan keselesaan kepada penggunanya,” katanya.

MDHS berkata, juara pertandingan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan, naib juara RM300, ketiga RM200 dan saguhati RM100 juga disertakan sijil.

Katanya, tempoh akhir penghantaran borang penyertaan adalah pada 31 Mei.

Proses penilaian dilakukan urusetia dari setiap jabatan teknikal MDHS dan akan dinilai pada Ogos berdasarkan kriteria ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut, boleh lawati facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor atau hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS di talian 03-6064 1050.


Pengarang :