SELANGOR

Selangor martabat Islam tanpa pinggir kaum lain

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 12 MEI: Kerajaan Negeri komited memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan tanpa meminggirkan kaum lain khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu dapat dibuktikan menerusi pendekatan terhadap projek pembinaan masjid dan pengisian program di rumah ibadat.

“Selangor adalah negeri pertama yang menjayakan ‘fast track’ kepada pelajar tahfiz bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Inisiatif kerajaan di bawah institusi pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor ini membuktikan 99 peratus daripada mereka lulus dan enam sehingga tujuh pelajar berjaya memperoleh semua A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Kepemimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor Bersama Rakyat di Masjid Ar-Rahman, Bukit Badong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Amirudin berkata, institusi pendidikan di Selangor bukan sekadar melalui lisan, namun ia seiring dengan pelaksanaan dan keputusan bagi membantu institusi terbabit.

Katanya, kejayaan qari dan qariah di peringkat antarabangsa itu juga datang daripada institusi pendidikan di Selangor.

“Ia sudah termaktub dalam perlembagaan jadi kita akan mengekalkan pelaksanaan itu dan jangan terikut dengan asakan mereka yang mencemuh dan memberi tohmahan.

“Jangan mempermainkan isu kaum yang mengundang sensitiviti pihak tertentu kerana Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya.


Pengarang :