NASIONAL

SPRM tahan ‘Datuk’ disyaki terbabit rasuah projek kereta perisai

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada 10 malam, manakala suspek wanita berusia 53 tahun itu, ditahan pada 11.50 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

“Kedua-dua suspek disyaki menerima rasuah berjumlah ratusan ribu daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan sekitar 2014 hingga 2017,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 serta dokumen-dokumen berkaitan projek itu.

“Beberapa saksi juga telah dipanggil hari ini, dan tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

-BERNAMA


Pengarang :