Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

HIJRAH landasan terbaik lebar perniagaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 30 JUN: Peluang pembiayaan yang ditawarkan Hijrah Selangor (HIJRAH) digunakan sepenuhnya Mohd Khairul Amru Khamis melebarkan perkhidmatan sertu yang diusahakannya sejak 2015.

Beliau berkata, skim pinjaman mikrokredit itu terbaik untuk usahawan belajar mendalami perniagaan, pengurusan dan pentadbiran serta mendapatkan bantuan pinjaman.

“Skim pembiayaan yang ditawarkan peniaga amat membantu peniaga yang kekurangan modal.

“Dalam perniagaan juga kita tidak boleh berjaya tanpa sokongan luar, bila saya menyertai skim ini, HIJRAH membantu saya daripada segi dana, pembangunan, pengurusan dan pentadbiran perniagaan saya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi bersama HIJRAH di Karnival Smart Selangor, di Stadium Kajang, di sini.

Bermula dengan pinjaman modal sebanyak RM10,000, Mohd Khairul berkata, beliau kini dalam proses menambah pinjamannya untuk melebarkan perniagaan.

“Saya juga turut mengikuti kursus dan program yang ditawarkan HIJRAH untuk menambah pengetahuan dalam perniagaan,” katanya.

Mengulas berhubung perniagaan perniagaan sertunya, beliau berkata, idea itu tercetus apabila kurangnya pemahaman masyarakat Islam dalam hal berkenaan.

“Proses sertu adalah proses menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah (najis berat) iaitu anjing, khinzir, dan keturunannya.

“Berhadapan kesukaran membersihkan kawasan yang perlu disamak memberi ilham untuk saya menyediakan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

“Malah, saya juga sudah memperolehi pengiktirafan tauliah jabatan pembangunan kemahiran,” katanya.


Pengarang :