NASIONAL

Skuad Badar dinasihat tidak bertindak bertentangan undang-undang

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Kumpulan Skuad Badar dinasihatkan agar tidak bertindak dalam apa jua cara bertentangan dengan undang-undang negara kerana mereka bukan badan penguat kuasa agama yang sah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata kumpulan itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.

“Perlu ditegaskan bahawa mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad, yang menjelaskan skuad itu bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.

Azhar dilaporkan berkata gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini semakin membimbangkan. – BERNAMA


Pengarang :