SELANGOR

Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas bulan depan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang akan dimulakan pada September ini.

Pengurus Besar, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei berkata, pelaksanaan program tersebut akan dibuat secara berperingkat mengikut bulan kelahiran masing-masing.

“Penyerahan baucer beli-belah bernilai RM100 akan diberikan kepada ahli SMUE mengikut bulan kelahiran mereka.

“Tuntutan manfaat tersebut hanya boleh dibuat dalam bulan kelahiran ahli SMUE sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Pei Nei berkata, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang menepati syarat permohonan SMUE dan masih belum mendaftar boleh pergi ke pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdekat.

“Sebarang pertanyaan berhubung proses penyertaan program Jom Shopping SMUE boleh didapati di Pusat Khidmat DUN di kawasan masing-masing,” katanya.

Orang ramai juga boleh menyemak status permohonan SMUE dengan melayari laman web: www.smue.yawas.my/admin/online_semakan.php atau hubungi YAWAS careline di talian 03-5481 8800.

Terdahulu, SMUE diteruskan dengan penjajaran semula dalam pelaksanaan yang akan memberi manfaat kepada golongan warga emas.

Mekanisme baharu itu berbeza dengan pelaksanaan sebelum ini iaitu bantuan diberikan kepada waris selepas warga emas berkenaan meninggal dunia.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk SMUE tetapi mekanisme pelaksanaan diperbaharui.


Pengarang :