Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail bergambar bersama Anak-anak Tabika Kemas sempena Majlis Pelancaran perintis Kemas Daerah Petaling di Dewan Teratai Seksyen 19 Shah Alam.25 Ogos 2019.Foto REMYARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

‘Printis’ suntik kaedah pembelajaran KEMAS

SHAH ALAM, 25 OGOS: Alat bantuan mengajar tambahan ‘Printis’ yang menggunakan aplikasi dan kawalan jauh diharapkan dapat menjadi pemangkin Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke peringkat lebih tinggi.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menerusinya penyelia dan guru boleh menggunakan konsep pembelajaran berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, hal itu kerana penyediaan alat bantuan kreatif dan berinovasi mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kita mahu kanak-kanak di Tabika KEMAS didedahkan dengan dunia set binaan blok dan robotik, oleh itu, saya mendapati terdapat usahawan tempatan berjaya membuat produk yang mampu milik.

“Jadi, kami memilih ‘Printis’ merupakan produk anak muda berpendidikan tinggi untuk membantu menyumbang alat pembelajaran tambahan,” katanya.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail mengawal permainan kawalan jauh sempena Majlis Pelancaran perintis Kemas Daerah Petaling di Dewan Teratai Seksyen 19 Shah Alam.25 Ogos 2019.Foto REMYARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran ‘Printis’ KEMAS daerah Petaling, di Dewan Teratai, Seksyen 19, di sini.

Hadir sama, Pengarah KEMAS Selangor, Ali Hanafiah Abu Hassan, Pengarah KEMAS daerah Petaling, Safri Tambong dan Pengarah Urusan Arteca Sdn Bhd, Dato’ Ahmad Radzi Yahaya.

Rodziah berkata, dalam kebelakangan ini, pihaknya melihat ibu bapa mula beralih daripada menghantar anak mereka ke tadika swasta ke KEMAS.

Justeru, katanya, inisiatif itu sebagai usaha dan suntikan kepada pihak KEMAS untuk meningkatkan tahap pembelajaran kanak-kanak.

“Apa yang lebih penting, kita mahu KEMAS dijenamakan semula dan dapat buang presepsi ‘main dan makan’ oleh masyarakat sebelum ini.

“Bermula dari sini, KEMAS daerah Petaling memulakan langkah baharu, alatan binaan dan robotik seperti ini mampu meningkatkan minda dan kreativiti kanak-kanak,” katanya.


Pengarang :