Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita didenda RM8,000 buka taska haram

ALOR GAJAH, 15 OGOS: Seorang wanita pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Bandar Hijau Hang Tuah Jaya didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menjalankan dan menguruskan premis berkenaan secara tidak sah, Mei lepas.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozita Zainal Abidin, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Wanita itu didakwa menjalankan dan menguruskan ‘Taska Little Learning Child Care Centre’ yang tidak berdaftar di pusat rehabilitasi berkenaan pada jam 6.30 pagi, 11 Mei lepas.

Dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan ini merupakan kesalahan pertama dan mengakui kesilapan tidak membuat susulan dengan pihak pusat rehabilitasi mengenai proses pendaftaran taska.

Selain itu, dia juga menanggung dua anak kecil dan ibu yang menghidap darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, SR Arthana memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh berikutan ia membabitkan kepentingan awam, selain terdapat kes bayi lelaki berusia lima bulan meninggal dunia di taska berkenaan ketika dalam asuhan pada 11 Mei lepas dan sebagai pemilik taska, tertuduh sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya.

Mengikut fakta kes, seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang bertugas di zon merah Hospital Melaka menerima pesakit bayi lelaki tidak sedarkan diri dibawa dari taska berkenaan, jam 7.16 pagi, pada 11 Mei sebelum membuat laporan polis, dan mendapati taska terbabit tidak berdaftar dan tiada perakuan pendaftaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri.

– BERNAMA


Pengarang :