AGENSISELANGOR

19 pelajar tajaan LZS berlepas ke Jordan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Seramai 19 pelajar tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara berlepas ke Jordan, semalam.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam Jordan selama empat tahun di negara terbabit.

Katanya, turut serta menghantar mereka ke KLIA semalam adalah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

“Pelajar ini terdiri dalam kalangan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

“Selain itu, mereka juga antara yang cemerlang dalam ujian bahasa dan temuduga dijalankan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Katanya, bantuan LZS kepada mereka adalah meliputi yuran pengajian wang sara hidup, tuntutan kitab dan tiket balik (selepas tamat pengajian).

“Semoga pelajar ini cemerlang dan menjadi tokoh hebat di Malaysia amnya dan di Selangor khasnya,” katanya.

Berdasarkan rekod, kesemua pelajar terbabit bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Bayt seramai enam orang; Universiti Jordan (dua orang); Universiti Mu’tah (dua orang) dan Universiti Yarmouk (sembilan orang).

Setakat ini, seramai 61 pelajar termasuk baru berlepas semalam kini berada di Jordan bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang terbabit.


Pengarang :