Tiada pembakaran terbuka dikesan di Johan Setia.
EXCOSELANGOR

Tiada pembakaran terbuka di Johan Setia

SHAH ALAM, 18 SEPT: Tiada sebarang pembakaran terbuka dikesan di Johan Setia sejak petang semalam hingga 11 pagi ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, laporan berkenaan hasil rondaan pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang dilakukan di 13 kawasan di sekitarnya.

“Antara 13 kawasan itu ialah Jalan Sekolah, Pemurah, Tengah 1, Tengah 2, Halia Muda, Jalan Lima, Jalan Enam, Sijangkang Utama, Jalan 10, Sempadan, Klang, Banting, Bandar Putera 2 dan Jalan Johan Setia.

“Pasukan ini mendapati tiada sebarang pembakaran secara terbuka dikesan di kawasan sekitar Johan Setia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pembenihan awan dijangka akan dilaksanakan petang ini atau esok bergantung kepada cuaca.

Setakat jam 12 tengah hari, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia masih mencatatkan bacaan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 256, Shah Alam (219) dan Petaling Jaya (206).

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Jailan Simon berkata, pembenihan awan yang dirancang hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan atmosfera kering dan ketiadaan awan berpotensi untuk pembenihan.

Katanya, pembenihan awan akan dilakukan apabila tiba hari sesuai.

Beliau turut menyifatkan jerebu yang melitupi ruang udara negara ketika ini umpama selimut yang membendung haba daripada keluar.

Mengulas mengenai kejayaan pembenihan awan semalam sehingga hujan di beberapa lokasi, beliau memberitahu, ia sudah dijangka dan potensi untuk hujan adalah 50-50.


Pengarang :