EXCOSELANGOR

Selangor catat kes denggi tertinggi

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor mencatatkan 57,980 kes denggi dengan 49 kematian sehingga 12 Oktober lalu, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata jumlah itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri paling tinggi mencatatkan kes berkenaan, mewakili 55 peratus bagi seluruh negara.

Katanya, daerah Petaling mencatatkan kes tertinggi di Malaysia iaitu 21,858 sehingga 13 Oktober lalu diikuti Hulu Langat (12,245), Klang (10,698) dan Gombak (7,497).

“Antara faktor utama gejala berkenaan adalah kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di Selangor iaitu anggaran 6.52 juta orang mewakili 20 peratus kependudukan seluruh Malaysia.

“Faktor kedua populasi sementara di negeri ini ekoran lambakan insitusi pengajian tinggi di Selangor selain pergerakan keluar masuk pelajar dari seluruh negara ke negeri ini yang menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.

Dr Siti Mariah Mahmud ketika sidang media Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Negeri Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 16 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Limpahan warga asing yang bekerja di negeri ini juga antara faktor kerana seringkali pihak penguat kuasa mendapati kawasan persekitaran tempat kerja dan kediaman mereka ini menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Selangor di Bangunan SUK, di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor turut mengenal pasti lokasi berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Antaranya bangunan terbiar, pusat kitar semula haram, tapak binaan terbengkalai, kenderaan terbiar, pengurusan bangunan strata, kebun haram dan kawasan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

Katanya, sehingga kini terdapat tiga program baru yang sudah dilaksanakan iaitu Kempen Selangor Gempur Aedes 2019, Program Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters dan Kawalan Biologi menggunakan Nyamuk Aedes dengan Wolbachia.

“Saya menyeru seluruh rakyat Selangor terutama mereka yang berada di hotspot wabak denggi supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi memastikan wabak ini tidak menular dengan lebih parah.

“Tindakan tegas bakal diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja membiarkan pusat pembiakan Aedes ini tidak dibersihkan,” katanya.


Pengarang :