AGENDAGLOBAL

China sokong usaha Palestin pulihkan hak negara mereka

NEW YORK, 4 DIS: Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zhang Jun pada Selasa menyuarakan sokongan terhadap usaha rakyat Palestin memulihkan hak-hak negara mereka yang sah, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada debat Perhimpunan Agung mengenai isu Palestin, Zhang berkata, “China adalah teman yang ikhlas dan mesra, rakan kongsi serta saudara rakyat Palestin. Ia dengan tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk memulihkan hak-hak negara mereka yang sah.”

Zhang berkata, China adalah penyokong kuat perdamaian antara Palestin dan Israel.

Beliau berkata, China menyokong penyelesaian politik isu Palestin menerusi rundingan dan menghargai mediasi aktif oleh PBB, Mesir dan pihak lain untuk satu perjanjian gencatan senjata.

Beliau menyeru agar semua pihak bertenang dan bersabar bagi mengelak konfrontasi serta konflik yang kian memuncak selain kekal komited untuk membina semula dan mengukuhkan kepercayaan bersama bagi mewujudkan situasi yang membolehkan rundingan damai antara Palestin dan Israel disambung semula.

Selain itu, Zhang memuji usaha agensi PBB yang membantu pelarian Palestin iaitu UNRWA dan menambah bahawa “China telah lama menyalurkan bantuan dari segi politik dan kewangan terhadap usaha agensi itu. Kami bersedia untuk terus menyalurkan bantuan kepada pelarian Palestin dan menyokong pembangunan sosial ekonomi.”

Beliau turut mengulangi cadangan empat perkara China dalam isu keselamatan di Timur Tengah: pertama, kekal komited terhadap hala tuju yang betul ke arah penyelesaian politik; kedua, mempertahankan prinsip asas keadilan dan kesaksamaan; ketiga, memanfaatkan peranan utama PBB dan keempat, menyatukan sinergi di rantau itu serta komuniti antarabangsa.

Beliau berikrar bahawa China akan terus berusaha melindungi keadilan dan kesaksamaan selain mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, dan akan terus bertindak sebagai pembina keamanan di Timur Tengah, penggalak kestabilan dan penyumbang pembangunan di rantau itu.

Semasa perdebatan itu, Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, selepas 52 pendudukan Israel, rakyat Palestin tetap bertekad untuk merealisasikan hak-hak mereka yang tidak dapat dipisahkan dan tidak akan melepaskan hak mereka untuk mendapatkan kebebasan serta kemerdekaan di tanah air sendiri.

Beliau menolak “penyelesaian separa” serta “percubaan untuk membuli, menindas dan meletihkan rakyat Palestin sehingga mereka terpaksa menerima autonomi terhad” dengan berkata, bahawa perkara itu tidak akan berjaya dan hanya boleh membawa lebih banyak konflik.

– BERNAMA


Pengarang :