– Gambar Hiasan
BUDAYARENCANA

Tengkujuh rezeki pengusaha pekasam

PASIR PUTEH, 8 DIS: Kedatangan musim tengkujuh biasanya akan merisaukan ramai orang kerana khuatir dilanda banjir namun, ia adalah musim yang ditunggu-tunggu bagi pengusaha ikan pekasam seperti di Kampung Tok Ajam, Jelor di sini yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Seorang pengusaha, Normala Muhammad, 34, berkata sepanjang musim itu, beliau boleh meraih pendapatan RM5,000 sebulan berbanding RM3,000 pada musim biasa hasil daripada memproses ikan air tawar daripada spesies sepat, puyu, tilapia dan lampam menjadi ikan pekasam.

“Ini kerana musim ini orang ramai menjadikan ikan pekasam sebagai bahan pencicah ubi kayu rebus dan pulut yang sesuai dihidangkan pada waktu pagi dan petang,” katanya.

Kampung Tok Ajam adalah satu-satunya lokasi pembekal ikan air tawar daripada pelbagai spesies yang terbesar di Kelantan.

Normala berkata, setiap hari beliau dapat memasarkan antara 40 hingga 50 kilogram ikan pekasam bagi memenuhi permintaan penduduk Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur termasuk mendapat pesanan dari Sabah.

– Gambar Hiasan

Katanya, ikan pekasam yang dihasilkannya diproses dengan mengambil masa selama setahun sebelum dipaket dan diedarkan kepada orang ramai dan tahan disimpan selama tiga tahun tanpa menjejaskan kualitinya.

Beliau berkata, selain ikan pekasam, beliau turut membekalkan ikan kering haruan istimewa untuk ibu-ibu yang baru bersalin dan ikan air tawar sejuk beku yang boleh didapati pada bila-bila masa tanpa mengira musim.

Normala berkata, ikan-ikan yang diprosesnya terdiri daripada ikan segar yang baru ditangkap oleh penduduk kampung dari sungai-sungai berdekatan dan dijual kepadanya setiap hari.

“Pernah satu ketika saya membeli ikan sebanyak 5,000 kilogram daripada penduduk kampung dan secara tidak langsung saya juga memberi sumbangan membantu mereka menerusi pasaran mudah dan terjamin selain memberi pekerjaan tetap kepada tiga penduduk untuk membantu saya,” katanya.

Normala berkata beliau memulakan perusahaan itu sejak tahun 2013 dan melebarkannya selepas mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Perikanan iaitu bagaimana kaedah memprosesnya daripada secara tradisional kepada mengikut kaedah terkini.

Katanya, Jabatan Perikanan Kelantan juga membantu menyediakan peralatan peti sejuk dan rak yang bernilai RM10,000.

– BERNAMA


Pengarang :