AGENDANASIONAL

Kesan positif industri pengangkutan hasil Pakej Rancangan Ekonomi 2020

PUTRAJAYA, 28 FEB: Sebagai pemboleh daya kepada sektor pelancongan domestik, industri pengangkutan akan memperoleh kesan positif daripada Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, demikian menurut Kementerian Pengangkutan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa baucar digital bernilai RM100 bagi penerbangan domestik dan kereta api akan menggalakkan permintaan terhadap pengangkutan awam khususnya pengangkutan udara dan kereta api.

Pemberian rebat terhadap kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang dan pengurangan caj pendaratan dan parkir bagi satu tempoh yang akan ditetapkan akan memudahkan aliran tunai syarikat perniagaan dan syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang.

“Ini akan dapat membantu syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadikan mereka lebih mampan,” menurut kementerian itu berhubung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 semalam.

Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 April 2020 secara langsung akan membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan tahap kecekapan operasi pelabuhan.

“Impak serta-merta akan dapat dinikmati oleh beberapa pelabuhan Persekutuan yang kini dalam fasa pembangunan dan pembesaran fasiliti sedia ada,” menurut kementerian itu.

Ia termasuk projek Pembangunan Fasa 3 bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, pembangunan Container Terminal (CT) baharu Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang dan pembangunan New Deep Water Terminal (NDWT) di Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Bantuan kepada individu terkesan termasuk bayaran RM600 secara sekali bayaran kepada pemandu teksi akan membantu meringankan beban sara hidup golongan itu di seluruh negara.

“Kementerian Pengangkutan akan memantau pelaksanaan pakej rangsangan ini bagi memastikan sektor pengangkutan terus berdaya saing dan menyediakan perkhidmatan yang cekap dan selamat demi kesejahteraan rakyat,” menurut kementerian itu.

– BERNAMA


Pengarang :