Beberapa pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli semasa lawatan ke tapak Tanjung Batu, Labuan pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tapak geologi Tanjung Batu di Labuan berusia lebih 15 juta tahun

LABUAN, 6 FEB: Tapak geologi Tanjung Batu, satu daripada enam tapak di Labuan yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan, dianggarkan berusia lebih 15 juta tahun, menurut penemuan pihak berkuasa.

Perkara itu didedahkan para pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli semasa lawatan ke tapak itu kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman semalam memberitahu bahawa lawatan para pegawai terbabit menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha memulihara tapak geologi di negara ini.

“Kami gembira apabila mengetahui bahawa Labuan memiliki tapak geologi yang boleh digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pendidikan, selain pembangunan geopelancongan,” katanya.

Sekurang-kurangnya tujuh tapak geologi bernilai tinggi telah ditemui di sini, yang melayakkan Labuan diisytihar sebagai geopark kebangsaan.

Daripada jumlah itu, enam telah melalui beberapa langkah sistematik termasuk pengenalpastian, pencirian, pengelasan, pentaksiran dan penilaian.

Fary berkata pelbagai agensi kerajaan yang relevan termasuk penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membantu Perbadanan Labuan untuk membangunkan tapak tersebut.

Penemuan ketujuh-tujuh tapak itu didedahkan oleh Jawatankuasa Pemandu Geopark Kebangsaan kepada pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan pada tahun lepas.

Tapak itu terletak di Tanjung Batu, laluan pejalan Kaki Muzium Chimney, bekas lombong arang batu Lubok Temiang, Bukit Minyak Gas Ganggarak, Tanjung Layang-Layangan, volkano lumpur di Kampung Layang-Layangan dan Formasi Tanjung Punei Crocker daripada batu pasir di Tanjung Kiamsam.

Kesemua tapak telah dinilai pada Mei 2019 oleh jawatankuasa itu yang diketuai Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Fary berkata sesetengah tapak geologi itu terletak di tanah persendirian dan rundingan perlu dilakukan untuk pemuliharaan lanjut.

“Perbadanan Labuan akan mengadakan seminar dan latihan bagi pemain industri pelancongan mengenai tapak pelancongan geologi,” katanya.


Pengarang :