Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam pada hari keenam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 pada 23 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hari ketujuh perintah kawalan fokus lapan peratus masih ingkar

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ketujuh akan menyaksikan tumpuan kepada lapan peratus rakyat yang masih tidak patuh kepada arahan tersebut.

Ini bagi memastikan sasaran 100 peratus pematuhan rakyat terhadap PKP yang dilaksanakan untuk mengekang wabak Covid-19 akan tercapai.

Memetik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan setakat Isnin kadar pematuhan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan sehingga 92 peratus.

Justeru, pada peringkat ini hanya golongan pekerja yang terlibat dengan perkhidmatan penting sahaja dibenarkan berada di luar rumah.

Ini termasuk ketua keluarga atau wakil setiap keluarga yang perlu membeli barang keperluan atau mendapatkan rawatan kesihatan, manakala bagi yang tidak terlibat, perlu berada di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19 yang meragut 14 nyawa di negara ini setakat semalam.

Kerajaan juga memandang serius tahap kesedaran penjarakan sosial yang disifatkan masih gagal dicapai oleh rakyat yang perlu berada di luar rumah.

Ini kerana rata-rata mereka yang keluar ke pasar awam atau pasar raya untuk mendapatkan barangan harian masih lagi berpusu-pusu tanpa menghiraukan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan iaitu satu meter antara satu dengan lain.

Justeru, tumpuan pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia hari ini ialah memastikan penjarakan sosial dipatuhi dengan memastikan pasar awam dan pasar raya mengehadkan jumlah pembeli dalam satu-satu masa dan membuat garisan jarak sejauh satu meter untuk pelanggan membuat bayaran.

Orang ramai juga dinasihatkan terus berada di rumah dengan mengamalkan kebersihan seperti membasuh tangan dan mematuhi penjarakan sosial jika perlu berada di luar.

Sebagai tanda prihatin kerajaan semalam mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Antaranya adalah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 masing-masing bermula 1 April depan.

Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani Covid-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Bagi meringankan beban kerajaan negeri, sebanyak RM130 juta disalurkan kepada semua negeri untuk membantu mereka menangani krisis wabak itu.

Tidak ketinggalan bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, kerajaan bersetuju memberikan lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta.

-BERNAMA


Pengarang :