Selangorkini
Petugas Jabatan Kesihatan Labuan membuat saringan kesihatan kepada penumpang feri Ro-Ro yang tiba di Labuan dari Menumbok, Sabah pada 23 Mac 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Inisiatif baharu tingkat barisan hadapan perangi wabak

OLEH M.SARASWATHI

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan memperuntukkan RM730 juta sebagai peruntukan tambahan dan RM600 juta akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan, agensi barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Daripada RM600 juta, sebanyak RM500 juta akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Selain itu, peruntukan RM100 juta juga disediakan untuk Kementerian Kesihatan bagi melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutama jururawat.

Suntikan dana tambahan untuk sektor penjagaan kesihatan yang diumumkan hari ini dilakukan selepas kerajaan memperuntukkan sebanyak RM160 juta untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini pada Khamis lepas untuk menangani gelombang kedua wabak Covid-19.

Langkah itu dipuji berikutan kerajaan mengambil pendekatan langkah demi langkah dalam menilai situasi dan merangka langkah mengikut keperluan sektor masing-masing.

Walaupun mengawal defisit fiskal penting untuk mencapai tahap kesihatan kewangan, semasa menghadapi tempoh mencabar di Malaysia dan di tempat lain, merupakan langkah bijak untuk mengetepikan ukuran tersebut dan memberi tumpuan kepada menangani cabaran semasa.

Tambahan pula, penjagaan kesihatan dan ekonomi amat berkaitan, ia tidak boleh berjaya tanpa yang lain.

Oleh itu, selain langkah sedemikian, pakej rangsangan ekonomi yang kedua untuk menambah RM20 bilion yang diumumkan pada akhir Februari lepas amat dialu-alukan, berikutan bantuan ekonomi yang pertama itu menumpukan kepada industri yang menerima impak secara langsung daripada Covid-19 iaitu pelancongan dan hospitaliti.

Malangnya, virus tersebut kini “menjangkiti” industri lain.

Pakej rangsangan yang dibuat secara berturut-turut itu bukanlah sesuatu yang baharu kepada Malaysia

Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra pada 23 Mac 2020.
Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Foto BERNAMA

memandangkan ia pernah dilaksanakan sebelum ini ketika krisis subprima di Amerika Syarikat.

Dua pakej rangsangan diumumkan dalam jangka pendek lima bulan iaitu pada November 2008 dan Mac 2009 di mana kerajaan mengumumkan suntikan sebanyak RM67 bilion kepada ekonomi tempatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan inisiatif itu semalam berkata, ini adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang diumumkan pada 30 Mac 2020.

Setakat ini, Malaysia mencatat 1,518 kes Covid-19 dengan 159 pesakit sembuh sepenuhnya manakala 14 lagi meninggal dunia.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu yang menjejaskan perniagaan khususnya peniaga kecil, kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM130 juta kepada semua negeri untuk membantu komuniti di negeri masing-masing dalam menangani krisis ini.

Sebagai langkah menyediakan pendapatan boleh guna kepada rakyat, kerajaan sebelum ini turut mengumumkan pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus berbanding 11 peratus sebelum ini.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari kepada 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion.

Perdana Menteri turut menasihatkan ahli KWSP yang akan menerima manfaat itu agar menggunakan wang yang dikeluarkan sebaik mungkin dan membeli barang-barang yang perlu sahaja dalam tempoh yang agak sukar ini.

Muhyiddin juga berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Sept.

Selain kerajaan pusat, kalangan kerajaan negeri juga telah mengumumkan inisiatif di peringkat masing-masing bagi membantu menangani Covid-19.

Sebagai contoh, kerajaan Selangor melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM128 juta, Kedah (RM21 juta) manakala Perak menyalurkan RM7 juta dalam bentuk bantuan untuk kumpulan bersasar dan kerajaan Melaka memperuntukkan RM6.53 juta bagi membantu mereka yang terjejas.

Selain usaha di peringkat kerajaan pusat dan negeri, kalangan syarikat Malaysia juga turut menghulurkan bantuan bagi membantu negara.

Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) misalnya telah menjalin kerjasama untuk menggalakkan kalangan syarikat korporat di Malaysia berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

Inisiatif ‘Corporate Malaysia Against Covid-19 Action Coalition’ itu antara lainnya menggesa syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain untuk memberi sokongan kewangan kepada Kementerian Kesihatan dari segi membantu menambah bekalan perubatan yang berkurangan bagi membendung wabak itu.

Sebagai peneraju usaha itu, TNB turut berikrar untuk menyalurkan sejumlah RM10 juta kepada kementerian tersebut.

Syarikat petroliam negara Petronas menerusi cabang Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Yayasan PETRONAS menyumbang pelbagai peralatan dan kelengkapan perubatan bernilai RM20 juta bagi membantu hospital dan petugas barisan hadapan ini mengawal pandemik tersebut.

Selain itu, Maybank juga mengumumkan sumbangan tunai segera sebanyak RM4 juta yang akan disalurkan kepada Dana Pandemik Covid-19 MERCY Malaysia bagi menyokong Pelan Kesiapsiagaan dan Respons Strategik.

Jelas sekali, setiap pihak di negara ini berusaha sedaya upaya bagi membantu Malaysia ‘pulih’ daripada virus yang menjangkiti seramai 292,146 orang di serata dunia serta menular di lebih 160 negara.

Namun, sebelum semua usaha ini sama ada di peringkat kerajaan pusat, negeri dan perbadanan serta syarikat dapat membuahkan hasil, kalangan orang ramai perlu memberi kerjasama sepenuhnya dari segi mengekalkan penjarakan sosial demi memastikan penularan itu dapat ditangani dan diatasi.

Atau ringkasnya, orang ramai hanya perlu berada dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

-BERNAMA


Pengarang :