Ketua Polis Balai Tun H.S Lee, Inspektor Khairulmizam Ibrahim (dua, kiri) bersama Inspektor Syafiq Muhammad Sharif (tiga, kiri) memberi nasihat kepada orang awam yang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavillion ketika melakukan rondaan menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 pada 19 Mac sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: Tindakan tegas individu langgar Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Tindakan tegas di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK) digunakan pada orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah diisytiharkan, oleh penjawat awam.

Beliau berkata jika terdapat individu ingkar, polis mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka kerana ingkar, atau melawan arahan penjawat awam yang bertugas.

Katanya setakat ini pihaknya tidak menahan orang awam, kerana mereka memberikan kerjasama baik kepada polis.

“Buat masa ini kita hanya memberi nasihat kepada orang ramai, bahawa mereka perlu berada di rumah sepanjang masa,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, di sini, semalam.

Mazlan berkata pihaknya menugaskan seramai 5,000 pegawai dan anggota, di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Buat masa ini, kesemua cuti pegawai dan anggota saya dibekukan cuti mereka dan bertugas sepenuhnya mengikut shif, bagi memastikan kelancaran Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pelaksanaan hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan pada sebelah malam turut mengalami penurunan jumlah kenderaan, di sekitar Ampang.

“Saya lihat ada segelintir orang awam yang berkeluarga melakukan perjalanan secara beramai-ramai dalam satu kenderaan. Hal ini yang mereka tidak faham, ada yang berkeluarga melakukan perjalanan dengan membawa bayi, di mana golongan itu lebih terdedah untuk dijangkiti Covid-19,” katanya.

Arjunaidi berkata mereka tidak sedar akan risiko apabila mereka bersama-sama dalam satu kenderaan, juga boleh menyumbang kepada risiko penyebaran Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada Rabu sehingga 31 Mac, bagi mencegah penularan wabak Covid-19, daripada terus merebak di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :