Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fasa ketiga tumpu usaha tamatkan penularan Covid-19

SHAH ALAM, 13 APRIL: Fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal bermula Rabu ini penting untuk menamatkan penularan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan wabak itu berjaya dikawal pada perintah kawalan fasa pertama dan kedua walaupun JP Morgan ada mengeluarkan kenyataan bahawa jumlah kes di Malaysia dijangka meningkat mendadak menjelang pertengahan April.

“Ia mensasarkan kes di Malaysia meningkat kepada 6,300 tetapi sekarang kita ada 4,817 kes…maksudnya kita sudah melakukan terbaik dan esok kita boleh ketahui sekiranya dapat kurang daripada 5,000 kes.

“Pada fasa ketiga kita perlu kurangkan lagi dan bukan hanya melandaikan lekuk kes tetapi pastikan Covid-19 dapat dihentikan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata semua pihak bukan hanya Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan dalam usaha menghentikan wabak berkenaan dengan mengikuti perintah ditetapkan.

“Kekal berada di rumah, amalkan penjarakan sosial dan amalkan kebersihan dengan kerap mencuci tangan, itu mesej mudah yang perlu dilaksana semua,” katanya.


Pengarang :