PENDAPATRENCANA

Panduan ibadah sempena Ramadan

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan garis panduan kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan baik di rumah mahupun masjid atau surau sepanjang Ramadan.

Masjid dan surau

Bilal perlu membuat pengumuman meminta ahli kariah menunaikan solat tarawih di rumah selepas azan Maghrib dan Isyak.

Masjid Negeri menjadi saluran rasmi Jais bagi program tazkirah dan tadarus al-Quran.

Pengurus masjid di daerah boleh mengadakan tazkirah secara langsung di Facebook masing-masing pada waktu sesuai, sama ada sebelum atau selepas Zuhur atau sebelum azan Isyak atau selepas solat tarawih.

Solat tarawih di masjid hanya melibatkan imam, bilal dan siak. Pembesar suara digunakan di dalam ruang solat sahaja.

Imam, bilal dan siak boleh membuat tadarus al-Quran selepas solat tarawih menggunakan pembesar suara luar menara maksimum jam 10.30 malam.

Masjid boleh memasang bacaan ayat al-Quran selama 15 minit sebelum azan Maghrib menggunakan pembesar suara luar pada kadar sederhana.

Ihya Ramadan

Program melibatkan masjid dan surau dengan jemaah dan orang ramai termasuk pengedaran bubur lambuk, program buka puasa, memasak dan mengagih juadah berbuka puasa secara pandu lalu tidak dibenarkan.

Kutipan bagi penganjuran program boleh ditangguh untuk tahun berikutnya.

Masjid boleh meneruskan program sumbangan prihatin kepada ahli kariah termasuk anak yatim berdasarkan keupayaan kewangan. Masjid digalak menyalurkan bantuan ke akaun penerima secara dalam talian.

Ziarah kubur

Aktiviti gotong-royong membersih tanah perkuburan tidak dibenarkan sebaliknya diganti bacaan yasin, tahlil dan doa arwah di rumah.

Pegawai masjid boleh melakukan majlis bacaan yasin, tahlil dan doa arwah di masjid melibatkan tiga orang sahaja (tertakluk kepada permintaan waris atau ahli kariah).

Pejabat Mufti Negeri Selangor turut menerbitkan Nota Poket Puasa Ramadan dan tarawih mengandungi susunan surah yang sunat dibaca ketika menunaikan solat tarawih bersama keluarga atau bersendirian di rumah. Surah itu adalah:

Rakaat 1 – al-Takathur
Rakaat 2 – al-Ikhlas
Rakaat 3 – al-‘Asr
Rakaat 4 – al-Ikhlas
Rakaat 5 – al-Humazah
Rakaat 6 – al-Ikhlas
Rakaat 7 – al-Fil
Rakaat 8 – al-Ikhlas
Rakaat 9 – al-Quraish
Rakaat 10 – al-Ikhlas
Rakaat 11 – al-Maa’un
Rakaat 12 – al-Ikhlas
Rakaat 13 – al-Kauthar
Rakaat 14 – al-Ikhlas
Rakaat 15 – al-Kafirun
Rakaat 16 – al-Ikhlas
Rakaat 17 – al-Nasr
Rakaat 18 – al-Ikhlas
Rakaat 19 – al-Masad
Rakaat 20 – al-Ikhlas

Nota tersebut turut menerangkan surah yang sunat dibaca ketika solat witir tiga rakaat selepas selesai tarawih.

Rakaat 1 – al-A’la
Rakaat 2 – al-Kafirun
Rakaat 3 – al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas (disunatkan membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat bermula hari ke-16 Ramadan)

Nota berkenaan boleh dimuat turun di Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor

Pada 13 April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan penangguhan solat Jumaat, solat jemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid dan surau di negeri ini dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur dan solat fardu serta solat sunat tarawih pada Ramadan tahun ini dilakukan di rumah.


Pengarang :