Dato’ Teng Chang Khim
EXCOSELANGOR

EXCO: Syarat tambahan, tunda aktiviti ikut Perlembagaan

SHAH ALAM, 5 MEI: Keputusan Kerajaan Negeri mengemukakan syarat tambahan dan penundaan beberapa aktiviti yang dibenarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilakukan mengikut bidang kuasa diberikan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata tidak wujud konflik dalam penguatkuasaan serentak PKPB dan syarat tambahan kerana kedua-duanya perlu difahami demi memastikan rakyat dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

“Kerajaan Negeri telah pun berbincang secara mendalam sebelum mengumumkan syarat tambahan selain daripada tatacara operasi piawai (SOP) yang disyaratkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Asas pertimbangan bukanlah pilihan antara nyawa dan ekonomi tetapi pertimbangan tuntas untuk mengimbangi keselamatan nyawa dan saraan hidup. Oleh yang demikian, syarat tambahan yang diputuskan merupakan langkah pendaratan lembut sebelum PKP atau PKPB dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sementara kesihatan awam, sanitasi dan pencegahan penyakit adalah di bawah bidang kuasa bersama Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Pada masa sama, Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan juga memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh memberi arahan dasar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Manakala seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan pula memperuntukkan PBT berkuasa melindungi dan mempromosikan kesihatan awam dengan mengambil segala langkah yang perlu untuk mencegah kejadian wabak penyakit atau memperbetulkan apa-apa keadaan yang mungkin memudaratkan kesihatan.

Chang Khim berkata Kerajaan Negeri percaya sektor industri dan perniagaan yang terjejas dengan syarat tambahan turut berkongsi keprihatinan serta pemahaman untuk bersama melindungi rakyat daripada Covid-19.


Pengarang :