AGENSISELANGOR

Polis Selangor pantau 61 ‘lorong tikus’ warga asing

SHAH ALAM, 15 MEI: Polis Selangor mengenal pasti 61 ‘lorong tikus’ di perairan negeri ini yang menjadi laluan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), kata ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam negeri.

Superintendan Rudy Abdullah berkata laluan haram itu membabitkan kawasan perairan di pesisir pantai Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Klang Utara dan Klang Selatan.

Berikutan itu, katanya, Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan pemantauan di semua laluan terbabit menerusi Op Covid-19.

“Operasi ini membabitkan rondaan setiap hari mengikut shif, cuma ditingkatkan lagi terutama di lokasi tumpuan di pesisir pantai dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” lapor Berita Harian.

Sebelum itu, beliau membuat tinjauan di kawasan lorong tikus di perairan Selangor bersama Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria.

Rudy berkata, pasukan keselamatan juga sedia mengekang aktiviti keluar masuk PATI menjelang dan selepas Aidilfitri dengan meningkatkan kawalan di pesisir pantai.


Pengarang :