Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selepas tiga hari, Selangor kembali rekod zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 22 MEI: Selangor kembali dengan status zon merah apabila Hulu Langat mencatatkan 45 kes aktif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC).

STFC menerusi Twitter memaklumkan daripada jumlah itu, mukim Hulu Langat mempunyai 36 kes aktif diikuti Kajang (enam), Cheras (dua) dan Semenyih (satu).

“Selangor hanya bebas zon merah tiga hari saja dan daerah Hulu Langat hari ini kembali menjadi zon berkaitan.

“Jangan rentas negeri untuk beraya! Ataupun ekonomi negara bakal tergendala dan lebih ramai orang akan hidup menderita,” katanya.

Kali terakhir Selangor diklasifikasikan sebagai zon merah adalah pada 18 Mei lalu apabila Petaling mecatatkan 50 kes aktif namun kini daerah berkenaan hanya mempunyai 25 kes aktif.

Sementara Gombak pula merekodkan 20 kes aktif diikuti Kuala Selangor dan Hulu Selangor dengan masing-masing mencatatkan lapan kes, Klang dan Sepang (lima) dan Sabak Bernam (tiga).

Kuala Langat terus stabil dalam zon hijau selepas bebas dari kes Covid-19.


Pengarang :