Orang ramai memakai pelitup muka ekoran kebimbangan mengenai penyebaran virus Covid-19 ketika melalui sepanjang Jalan Khao San, lokasi popular untuk pelancong di Bangkok pada 6 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand rekod satu kes baharu, satu kematian

BANGKOK, 2 JUN: Thailand melaporkan satu kematian akibat Covid-19 dan satu kes positif baharu melibatkan pelajar Thai yang baru kembali dari Arab Saudi dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul kematian dan kes positif Covid-19 di negara itu masing-masing 58 dan 3,083.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terbaharu itu ialah seorang lelaki warga Thai berusia 80 tahun dari Narathiwat di selatan negara.

Sementara itu, kes positif baharu merupakan pelajar lelaki berusia 32 tahun yang baru tiba dari Arab Saudi melalui Kuala Lumpur dan menaiki bas ke Narathiwat melalui pintu masuk Padang Besar pada 25 Mei lepas.

“Setakat ini, lapan daripada 39 penumpang bas dari Kuala Lumpur ke Narathiwat itu didapati positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian mengenai wabak tersebut, di sini hari ini.

Daripada 3,083 kes, sebanyak 2,966 telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital sementara 59 masih dirawat.

Sementara itu, Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha memberitahu pemberita yang Thailand tidak tergesa-gesa membuka semula sektor pelancongan antarabangsanya kerana keutamaan kerajaan ialah kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Kami akan benarkan perjalanan melibatkan negara yang ada perjanjian bilateral dengan kami … ini akan dilakukan secara berperingkat,” katanya, menambah kabinet tidak membincangkan penarikan balik larangan operasi penerbangan antarabangsa kerana pihak berkuasa berkaitan sedang mengumpul data untuk menilai situasi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) sebelum ini mengumumkan pelanjutan tempoh larangan ke atas semua penerbangan antarabangsa ke Thailand sehingga 30 Jun ini.

Sementara itu, pulau Phuket di selatan negara membuka semula lapangan terbangnya kepada penerbangan domestik bermula 15 Jun, demikian kata jawatankuasa penyakit berjangkit wilayah hari ini.

“Memandangkan pihak berkuasa wilayah telah, dengan secara berkesan, mengekang penularan Covid-19, Lapangan Terbang Phuket beroleh kebenaran membuka semula operasi kepada penerbangan domestik bermula 15 Jun,” demikian menurut jawatankuasa itu yang dipetik oleh Bangkok Post.

CAAT mengenakan larangan penerbangan masuk atau keluar dari pulau peranginan tersebut bermula 10 April lepas bagi membendung penularan Covid-19. Semua pintu masuk – darat dan air – Phuket dibuka semula pada 1 Jun.

-BERNAMA


Pengarang :