Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Pedas diasing, tidak berisiko kepada umum

SHAH ALAM, 22 JUN: Semua mangsa terlibat dalam kluster Pedas di Negeri Sembilan tidak memberi risiko kepada umum kerana diasingkan dan jauh daripada masyarakat.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 12 kes baharu daripada kluster itu hari ini adalah hasil saringan Covid-19 kelima dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, situasi tempat kediaman sesak dan sempit bagi golongan bukan warganegara sememangnya faktor utama penularan dalam kalangan mereka,” kata ketua pengarah kesihatan ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata setakat ini 316 kes positif dilaporkan daripada 957 saringan membabitkan 844 kontak di tempat kerja dan 113 ahli keluarga.

Kes positif kluster ini melibatkan 14 dalam kalangan warga Malaysia dan 302 bukan warganegara iaitu 163 warga Nepal, Bangladesh (67), Myanmar (35), Indonesia (31), India (empat) serta masing-masing satu warga Vietnam dan Kemboja.


Pengarang :