AGENDAEKONOMINASIONAL

MTUC: Rancangan berdaya maju perlu bantu pekerja

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap terdapat rancangan berdaya maju dan mampan bagi menangani masalah pekerja dalam rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

Setiausaha Agung MTUC J. Solomon mencadangkan kerajaan mencari cara lebih berkesan untuk memastikan pekerja tetap bekerja, menyelesaikan isu pemotongan gaji yang tidak adil serta mengurangkan perbelanjaan isi rumah berikutan ekonomi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, moratorium enam bulan untuk pembayaran pinjaman perumahan dan kereta oleh institusi kewangan yang diperkenalkan pada Mac lepas banyak membantu pekerja. MTUC menggesa Perdana Menteri supaya melanjutkan moratorium berkenaan enam bulan lagi.

“Langkah ini memberi banyak manfaat kepada ribuan pekerja yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa melakukan pemotongan gaji yang banyak, menjadikan mereka tidak dapat membayar balik pinjaman mereka dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata MTUC juga meminta perdana menteri mempertimbangkan kemungkinan menyediakan jaring kewangan mampan untuk pekerja B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana rendah) sehingga ekonomi kembali kukuh.

Solomon berkata walaupun terdapat dakwaan kerajaan tidak mampu memberikan elaun bulanan kepada pekerja kurang berkemampuan, kongres itu berpendapat mungkin ada sesuatu yang dapat dilakukan kerajaan memandangkan harga minyak mulai pulih dan kerajaan juga memiliki rizab luar cukup besar.

Beliau berkata MTUC juga berharap kerajaan meneliti keperluan mendesak untuk memperkenalkan Peraturan Pekerjaan Darurat (EER) yang menyekat pemberhentian pekerja bagi jangka waktu tertentu, terutama setelah Persekutuan Majikan Malaysia menyatakan sehingga dua juta pekerja mungkin kehilangan pekerjaan selepas musim perayaan Hari Raya.

“Langkah tegas itu mesti termasuk tindakan tegas terhadap majikan tidak bermoral yang cepat menyasarkan pekerja berpendapatan rendah untuk pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja bagi mengekalkan keuntungan besar dan pada masa sama mendapat keuntungan daripada pinjaman mudah dan geran kerajaan.

“Kami menantikan rancangan Tan Sri Muhyiddin untuk memulihkan ekonomi dan berharap kerajaan melihat teliti keadaan pekerja di negara ini yang semakin teruk dan secara serius mempertimbangkan cadangan kami sebagai remedi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :