Pengunjung memakai pelitup muka untuk mencegah virus Covid-19, semasa hadir pameran buku ‘Big Bad Wolf Books’ di Jakarta pada 8 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Kes positif Covid-19 di Indonesia 78,572, kematian 3,710

JAKARTA, 14 JULAI: Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 78,572 kes, susulan penambahan 1,591 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 54 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,710 orang.

“Sebanyak 23,001 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi tertinggi kes positif keseluruhan adalah di Jawa Timur iaitu sebanyak 17,230 kes, diikuti Jakarta (15,064 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,247 kes, diikuti Jakarta (701 kes), Jawa Tengah (240), Sulawesi Selatan (239) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

– BERNAMA


Pengarang :