Pembeli Rumah Idaman Warisan memegang replika kunci yang diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anak sayu kenang arwah bapa tidak sempat diami rumah idaman

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seorang anak tidak dapat menyembunyi kesedihan tatkala mengenang allahyarham bapanya tidak sempat mendiami rumah baharu selepas 21 tahun menanti.

Amran Dayat, 36, berkata bapanya Dayat Othman pernah menyuarakan hasrat untuk menduduki teres dua tingkat di Puncak Alam yang dibeli hasil titik peluh keluarganya.

“Sebagai anak saya sangat terkilan sebab ayah tidak sempat duduk di rumah ini dan adik-beradik juga sudah lama tunggu untuk masuk rumah baharu.

Amran Dayat

“Tetapi kami (adik-beradik) bersyukur kerana akhirnya dapat juga kunci rumah. Insya-Allah dalam masa beberapa hari lagi kami dapat tengok rumah yang cantik dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di sini hari ini.

Amran merancang untuk menjadikan rumah itu sebagai tempat persinggahan keluarga dan berjanji mengurusnya sebaik mungkin.

“Arwah bapa pernah nyatakan kalau ada rezeki (rumah siap) kami (adik-beradik) perlu uruskan elok-elok kerana inilah satu-satunya harta yang ditinggalkan selepas berhempas pulas bekerja mengumpul wang,” katanya yang kini menetap di Sungai Besar, Sabak Bernam bersama isteri dan dua anak.

Seorang lagi pembeli, Mohd Fauzi Osman, 54, berkata keluarganya terpaksa berpindah sebanyak dua kali di sekitar Puncak Alam sementara menanti kediaman tersebut siap.

Mohd Fauzi Osman

Dia berdepan pelbagai dugaan dengan menyewa di tempat lain yang jauh dari tempat kerja sekali gus menambah beban kewangan keluarganya.

“Bagaimanapun, saya dan isteri bangga melihat rumah sendiri akhirnya siap sebab kami beli sebelum kahwin lagi. Kami terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyelesaikan isu ini,” katanya.

Rumah Idaman Warisan dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia, terbengkalai sejak 1999 sebelum diambil alih Pemerbadanan Menteri Besar pada September 2016.

Projek pemulihan bersama Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad membabitkan kos RM38 juta siap sepenuhnya akhir tahun lalu, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.


Pengarang :