Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka ketika tinjauan di Perpustakaan Negara pada 22 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Hanya satu kes baharu, terendah lepas sebulan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hanya satu kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, angka sama dicatatkan pada 1 Julai lalu, maklum ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes membabitkan warganegara iaitu saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata keseluruhannya sebanyak 9,002 kes dicatatkan dengan 193 daripadanya aktif manakala jumlah kematian kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham berkata seramai 16 pesakit lagi berjaya pulih menjadikan jumlah yang sembuh 8,648 kes atau 96.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, katanya, penurunan kes hari ini dicapai hasil kerjasama semua pihak mematuhi normal baharu dan tatacara operasi piawai (SOP).

“KKM (Kementerian Kesihatan) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya kerjasama setiap peringkat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

“KKM berharap masyarakat terus mengamalkan normal dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.


Pengarang :