Pengembara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menjalani pemeriksaan kesihatan. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Pelajar B40 dari luar negara dikecuali kos kuarantin

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pelajar dari luar negara yang kurang berkemampuan dikecualikan bayaran kos kuarantin dengan syarat membuat rayuan untuk memasuki pusat berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rayuan boleh dibuat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Bagi mengelak timbul isu, kita minta sebelum pulang ke tanah air, mereka (pelajar) mendaftar dengan Kementerian Luar dengan mengisi borang mengenai butir peribadi misalnya pendapatan keluarga.

“Kalau mereka daripada golongan berpendapatan rendah (B40), maka Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menghantar senarai tersebut kepada Nadma. Apabila sampai di Malaysia untuk dihantar (pusat kuarantin), Nadma sudah memiliki nama tersebut,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri juga berkata aplikasi MySejahtera akan diwajibkan di semua premis perniagaan seluruh negara bagi memudahkan pengesanan kontak oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan aplikasi lain sebagai tambahan dibenarkan seperti SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang digunakan secara meluas di Selangor.

“Saya dapati ada premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, justeru Pejabat Peguam Negara akan mewartakan untuk mewajibkan penggunaan (MySejahtera) dalam masa terdekat.

“Pengecualian hanya dibenarkan di kawasan luar bandar serta bandar kecil yang tidak mempunyai liputan internet dan boleh digunakan secara manual,” katanya.


Pengarang :