AGENDASUKANKINI

Peluang cerah Red Giants duduki tangga terbaik Liga Super

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penyerang import Selangor Ifedayo Olusegun yakin skuad The Red Giants memiliki kelebihan untuk menamatkan kempen Liga Super musim 2020 pada kedudukan lebih baik.

Pemain dari Nigeria yang kini sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sejak tiba di Malaysia pada 11 Ogos lepas, menggesa agar penyokong pasukan Selangor terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan mereka itu.

“Saya percaya kami masih mempunyai peluang cerah musim ini. jadi, saya berharap penyokong percaya untuk kami membuktikan sesuatu yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) www.faselangor.my, hari ini.

Ifedayo berkata beliau gembira dapat kembali ke Malaysia dan menyertai rakan sepasukan untuk memulakan saingan Liga Malaysia pada 26 Ogos ini, dan berazam mengekalkan kecergasan selama menjalani tempoh 14 hari kuarantin wajib.

Katanya, pengurusan FAS juga menyediakan beberapa kelengkapan sukan seperti basikal dan peralatan angkat berat bagi membolehkannya menjalani latihan kecergasan.

Pasukan Selangor mempamerkan prestasi luar biasa dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini dengan meraih empat kemenangan walau tanpa kelibat Ifedayo.

Skuad bimbingan B.Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada 5 Ogos, diikuti kemenangan selesa 3-0 ke atas UKM FC dan Negeri Sembilan (masing-masing pada 8 dan 13 Ogos), sebelum menewaskan Terengganu FC dengan 2-0 pada 15 Ogos.

Selangor akan memulakan aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC di Stadium UiTM Shah Alam pada 27 Ogos.

Skuad The Red Giants mengumpul lima mata untuk menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan selepas empat perlawanan dengan meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan tewas sekali.

Saingan Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik Covid-19 bakal bersambung pada 26 Ogos ini.

-BERNAMA


Pengarang :