Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bersama EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu serta wakil Matta Terengganu, Tourism Terengganu dan Motac Terengganu pada program Jelajah Pesona Selangor 2020 di Duyong Marina & Resort Terengganu pada 22 September 2020. Foto Tourism Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Pesona Selangor himpun sembilan operator produk pelancongan negeri

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sembilan operator produk pelancongan negeri ini berjaya dihimpunkan pada program Jelajah Pesona Selangor ke Terengganu pada 22 September lalu, kata pengurus besar Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata ia meliputi Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel & Spa, Farm in the City, Chocolate Museum, GM Klang, Sky Mirror Tour & Travel, Persatuan Homestay Selangor, Selangor Fruit Valley dan JumpStreet Asia.

“Penglibatan operator produk pelancongan negeri dalam program ini membolehkan sesi promosi dan pengenalan produk dilakukan secara terus kepada penggiat industri.

“Hasil perkongsian dijangka dapat disampaikan kepada golongan sasar terdiri daripada pelancong tempatan yang bermastautin luar dari Selangor sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri menerusi dapatan industri pelancongan,” katanya kepada SelangorKini.

Berkonsepkan ‘Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu’, jelajah berkenaan mendapat sokongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Tourism Terengganu selain Pejabat EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Terengganu serta Tourism Malaysia Wilayah Timur.

Azrul menambah program itu adalah medan terbaik untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi percutian unggul yang memiliki pelbagai produk pelancongan menarik sama ada yang baharu mahupun sedia ada.

“Saya percaya kerjasama pintar ini dapat memberi manfaat bersama yang akan memakmurkan lagi industri pelancongan ke tahap terulung.

“Malah, ia akan membuka peluang lebih luas dalam usaha mempergiat pelan promosi pelancongan bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong domestik, khususnya ke Selangor,” katanya.


Pengarang :