Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 62 kluster berpunca dari tempat kerja

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 62 daripada 230 kluster Covid-19 di negara ini berpunca dari tempat kerja, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini 37 kluster tersebut masih aktif termasuk pertambahan dua kluster baharu iaitu Kluster Lintas, Sabah dan Kluster Limbungan, Labuan hari ini.

“Warga pekerja berperanan besar membantu Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) membendung penularan Covid-19 di tempat kerja dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengamalkan kawalan kendiri.

“Semua pihak juga perlu menjadikan persekitaran tempat kerja yang bersih dan selamat sebagai kebiasaan harian,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata majikan boleh menjalankan tindakan proaktif melakukan saringan Covid-19 dalam kalangan pekerja bagi mengesan kes tidak bergejala.

“Tindakan ini penting untuk membantu KKM membendung penularan wabak dalam komuniti dan seterusnya melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Kes baharu Covid-19 turun kepada tiga digit apabila merekodkan 835 kes hari ini berbanding semalam 1,240 kes menjadikan jumlah keseluruhan 28,640.

Sabah terus mencatat kes tertinggi Covid-19 dengan 410 kes diikuti Negeri Sembilan 155 manakala Selangor 126.


Pengarang :