Kakitangan LZS menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada asnaf fakir di Serendah, Hulu Selangor baru-baru ini. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

Asnaf fakir terlibat kemalangan dapat bantuan kerusi roda

SHAH ALAM, 5 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Selangor menyerahkan bantuan kerusi roda kepada seorang wanita asnaf fakir di Serendah, baru-baru ini.

Agensi itu melalui kenyataan di Facebook memaklumkan wanita dikenali sebagai Huda terlibat dalam kemalangan motosikal dan menjalani pembedahan kepala di Hospital Selayang.

Lebih menyedihkan, asnaf itu disahkan menghidap kanser payudara tahap empat dan memerlukan rawatan di Hospital Kuala Lumpur secara berjadual.

“Ketika ini beliau dijaga oleh Puan Hana yang juga asnaf fakir sebaik mungkin. Berdasarkan rekod terkini, dua insan istimewa ini merupakan penerima bantuan LZS sejak 2015,” maklum agensi itu.

Agensi tersebut berkata antara bantuan diterima ialah kewangan, makanan, sewa rumah, hari raya, perubatan bulanan dan tambang perjalanan ke hospital.

Pada masa sama, LZS berterima kasih kepada semua pengeluar zakat yang melaksana tanggungjawab bagi membantu insan memerlukan.

Bayaran zakat boleh dibuat di cawangan LZS berhampiran atau dalam talian melalui pautan ttps://fpx.zakatselangor.com.my.


Pengarang :