BUDAYARENCANA

Christina

Oleh Nawfal Fathel

“ORANG kita memang bermasalah. Aku tengok orang muda kita banyak yang malas. Sudah dewasa, ambil rasuah. Yang lebih tua, memekik-mekik di Parlimen. Tapi aku baru jumpa satu jenis Melayu yang lebih mengecewakan. Baru saja aku jumpa. Mereka yang beri nama anaknya Christina. Ada Nurul Christina, ada Siti Christina. Walhal dia Melayu-Islam, tapi nama haramm!” atuk mengomel sambil berehat di kerusi malas.

Waktu senja begini aku senang sekali bersama-sama atuk. Biasanya atuk membebel dan aku hanya mengangguk. Aku biarkan saja. Banyak yang mengarut, tapi kadang-kadang masuk akal juga cakap orang tua ini.

“Biarlah mereka nak namakan anak mereka. Apa ayah nak sibuk-sibuk,” celah abah separa menjerit di atas motosikal. Bunyi motosikal abah memenuhi ruang bawah rumah atuk. Bingit. Abah baru saja pulang dari mengajar kelas budak-budak kampung.

“Tapi nama itu kan tak elok?”

“Apa kaitan nama mereka dengan ayah? Sibuk hal keluarga orang, lah!”

“Kau tu. Ada mengajar budak yang namanya macam orang putih begitu?”

Abah turun dari motosikal. Belum sempat apa-apa sudah bertekak dengan atuk. Orang tua lawan orang tua. Boleh jadi tak semua buah fikiran atuk itu salah. Abah pula tak semestinya betul. Aku hanya perhati. Tak kuasa nak menyampuk.

“Itulah ayah sudah lupa. Christina itu nama anak murid saya. Saya yang cerita pada ayah. Baik budaknya rajin buat kerja sekolah.”

“Oh, kau yang cerita, ya!” atuk mengeyakan abah.

“Tapi, aku rasa tak usahlah kau mengajar budak-budak itu lagi.”

Aku memandang abah yang kekal bersahaja. Profesion sebagai seorang guru menjadikan abah lebih cermat. Malah, sebagai seorang anak, abah mesti hormat kepada atuk. Mengarut atau tak, itu belakang kira. Dia boleh lawan, tapi dibiarkan saja. Mudah abah meneka buah fikiran atuk.

“Kenapa ayah? Takut kita dilanda musibahkah? Kita dilanda virus?”

“Bijak! Tepat sekali. Nanti ada virus yang melanda kampung kita. Bala!”

Azan maghrib berkumandang. Abah yang seperti tidak terkesan dengan kata-kata atuk masuk rumah untuk bersiap. Malam nanti ada kelas lagi. Atuk pula menyarung baju kemeja yang sudah tersidai pada paku yang diketuk berselerak. Aku bergegas bersiap mengikut atuk ke surau. Sepanjang perjalanan menuju ke surau aku senyum sendiri. Geli hati mendengar kata-kata atuk yang sudah seribu kali diulanginya. Ada virus, ada musibat. Ada itu, ada ini.

Virus apa orang tua ini fikir. Ketika mengangkat takbir, aku tersenyum mengenangkan virus yang disebut atuk.

Selesai sembahyang maghrib, imam membaca doa. Entah orang lain, tetapi aku perasan imam membaca doa lebih panjang daripada biasa. Sejurus selepas berdoa, imam menyampaikan ucapan. Katanya, makmum diminta pulang segera. Bacaan yasin dan melepak sambil minum teh tarik dilarang. Imam mengakhiri ucapan dengan memberitahu segala makluman akan disampaikan melalui WhatsApp saja. Bagi yang tiada WhatsApp, tidak perlu khuatir. Maklumat akan disampaikan juga melalui pembesar suara surau.

Atuk bergegas pulang. Mentang-mentang tidak boleh bersalaman, ditinggalkan semua jemaah begitu sahaja. Dia hanya mengangkat kening kepada kenalan yang benar-benar rapat. Aku terhegeh-hegeh mengikut atuk yang berjalan laju menuju motosikal. Kami berangkat dan motosikal bergerak kencang. Atuk mahu pulang segera bertemu abah.

“Kurang ajar kau, Christina! Buat onar dalam kampung aku!”

Abah masih di rumah sewaktu kami tiba. Sepatutnya abah sudah keluar mengajar. Bahkan abah kelihatan kelam kabut. Dia mencari sesuatu hingga berterabur laci diselongkar.

“Ambil ini,” abah menghulur pelitup muka kepada kami berdua. Aku tanpa menunggu segera mengambilnya dan terus pakai. Tapi atuk tidak mahu ambil. Ada benda yang ingin dia luahkan. Nafas atuk laju, begitu juga abah.

“Ini semua gara-gara anak murid kau. Sudah bawa bala pada kampung kita.”

“Sudahlah, ayah! Ambil pelitup muka ini, duduklah di rumah. Saya nak pergi hospital, anak murid saya rebah tadi.”

“Mesti Christina. Sudah! Nanti kau pergi sana, bawalah bala ke rumah ini,” perli atuk.

Sedang gawat begitu mulut atuk tidak mahu tutup. Dibebelnya abah bertubi-tubi. Katanya azab Allah sudah datang berpunca daripada seorang budak bernama Christina.

Pada mulanya aku kagum dengan atuk kerana kata-katanya bukan tipu. Dia benar-benar dapat meramal. Mulut atuk masin. Aku pernah dengar, kalau orang itu dapat meramal, dia digelar wali. Atuk aku wali? Aku cucu kepada seorang wali?

“Nak ikut abah pergi hospital?” abah berbisik kepadaku, memotong keterujaan pada atuk.

“Kawan kau yang masuk hospital sebenarnya, bukan Christina.”

“Siapa?”

“Zul. Kalau kau nak ikut, siap cepat. Biarkan saja atuk kau.”

Terbeliak mataku. Membayangkan Zul yang berada di hospital, aku terus pergi bersiap. Zul hanya tua setahun daripadaku, tetapi dialah kawan bermain petang-petang. Aku menyarung seluar menggantikan kain pelekat. Abah sudah berada di dalam kereta menunggu aku. Ketika melangkah ke kereta, sisa-sisa kekaguman terhadap atuk masih ada. Serba salah pula rasanya sebab mempermainkan atuk selama ini.

Kami segera meninggalkan rumah. Aku sempat menoleh, melihat atuk yang masih marah-marah. Atuk masih memaki hamun Christina. Pada mukanya ada pelitup muka yang diberi abah, menahan daripada menyedut asap putih yang mula menyelubungi kawasan rumah kami.

“Kasihan Zul, kawan kau. Antara ramai orang, dia yang terkena demam denggi.”

Aku tumpang simpati kepada Zul yang sedang sakit di hospital. Pada atuk, timbul pula rasa lucu. Ternyata atuk bukanlah wali. Kerana denggi bukan datang dari Christina, tapi dari nyamuk!

 

 


Pengarang :