Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
AGENDANASIONAL

JPJ, SPRM tekad perkasa integriti tadbir urus

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited, memperkasakan aspek integriti dan tadbir urus telus dalam pelaksanaan tugasan rutin, melalui hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan itu.

JPJ dan SPRM dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat diwujudkan, ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh Pejabat JPJ.

Perkara itu diputuskan ketika kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki, semalam.

Zailani berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan warga kerjanya dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan dengan aspek integriti.

Menurutnya, JPJ mengamalkan pendekatan polisi ‘pintu terbuka’ dan bersedia menerima syor daripada orang awam, ke arah meningkatkan kecekapan jabatan dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

“Saya berazam meningkatkan imej positif JPJ ke tahap lebih tinggi, dan meningkatkan tahap integriti kalangan warga kerja jabatan tanpa mengesampingkan aspek kolaborasi rapat dengan jabatan atau agensi penguatkuasaan lain, di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya menyambut baik hasrat itu dan berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), di Bahagian Integriti JPJ.

“Sejak dahulu lagi hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM direalisasikan melalui pelaksanaan operasi bersama, seperti op kenderaan klon, penipuan ujian lesen memandu dan lain-lain.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM), yang dimeteraikan pada 2017, ke arah usaha untuk menambah baik dan memantapkan hubungan kerja antara dua jabatan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :