Pemain bola sepak Selangor giat menjalani latihan pertama kali dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 di Padang SUK, Shah Alam pada 22 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Pas bermusim 2020 ke 2022, adil untuk semua – Selangor FC

SHAH ALAM, 31 DIS: Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) mengumumkan pas bermusim 2020 akan digunakan ke musim 2022 dan bukan tahun hadapan seperti diumumkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum situasi semasa dan status kebenaran kemasukan penyokong ke stadium yang sentiasa berubah ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur sehingga 14 Januari depan selain menimbangkan saranan pihak berkuasa.

Kelab itu memaklumkan Gergasi Merah akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas gelanggang utama di Stadium Shah Alam sedang dibaik pulih dan dijangka boleh digunakan semula pada 2023.

“Selangor FC mempunyai beberapa faktor dan kekangan untuk membenarkan kesemua pemegang pas bermusim 2020 masuk ke stadium kerana kapasiti yang mungkin dibenarkan untuk Stadium MBPJ tidak dapat menampung kesemua jumlah pemegang pas sedia ada.

“Disebabkan ketidaktentuan ini, pihak kami dalam usaha untuk berlaku adil bagi memberikan peluang semua pemegang pas menghadiri kesemua hari perlawanan ‘home’ pada musim berikutnya,” katanya menerusi Facebook semalam.

Selain itu, Selangor FC turut memaklumkan tiada pas bermusim akan dijual atau dikeluarkan pada tahun hadapan.

“Kami sangat berterima kasih kepada penyokong Selangor, terutamanya pemegang pas bermusim 2020 kerana memahami kesulitan yang dihadapi, terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan berakhir dalam masa terdekat,” katanya.


Pengarang :