Rodziah Ismail (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk terkesan Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Majlis MBPJ ZON15, Stadium Hoki Jalan Selangor baru-baru ini. Foto ihsan Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penghuni PPR terima bantuan makanan bulan depan

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Negeri bakal menyalurkan inisiatif bakul makanan kepada setiap keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada bulan depan, kata EXCO kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berharap Program Bakul Mesra Selangor bernilai RM100 dapat meringankan beban golongan terjejas sumber pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Banyak keluarga terjejas pendapatan sejak Covid-19 melanda. Justeru, sebagai langkah segera Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Kita Selangor bagi membantu rakyat.

“Kita tidak mahu ada golongan di Selangor yang tercicir menerima bantuan, ini komitmen kita yang diberi amanah untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat,” kata Rodziah kepada SelangorKini.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM1.3 juta diperuntuk untuk melaksanakan inisiatif Bakul Makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diagihkan kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa PPR, orang asal dan pemandu lori sisa pepejal kendalian Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :