AGENDA

Bursa Malaysia susut selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan Selasa namun susut selepas itu sekali gus mencatatkan prestasi berbeza berbanding aliran global dengan saham-saham meningkat bagi hari ke-11 berturut-turut dan mencecah paras tinggi baharu, didorong keyakinan terhadap program suntikan vaksin Covid-19 dan bantuan fiskal baharu oleh Washington.

Pada 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.72 mata kepada 1,607.35 daripada 1,608.07 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 3.97 mata lebih tinggi kepada 1,612.04.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 324 berbanding 207 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,283 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 702.81 juta unit bernilai RM308.11 juta.

Menerusi nota penyelidikan, Public Investment Bank menjelaskan susulan semakin ramai yang diberikan suntikan vaksin di seluruh pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS) selain Presiden AS Joe Biden juga ingin menambah rangsangan sebanyak AS$1.9 trilion ke dalam ekonomi, maka yang disebut sebagai pemulihan dagangan telah semakin baik dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Mengambil petunjuk daripada sesi dagangan Asia yang kukuh walaupun lengang kerana masih dalam suasana cuti perayaan, indeks utama Eropah mencatatkan peningkatan pada awal dagangan, dengan FTSE 100 Britain meningkat 2.2 peratus.

“Berikutan pasaran China dan Hong Kong masih ditutup sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Nikkei Jepun menerajui kenaikan itu dengan meningkat 1.9 peratus untuk mencecah semula pada paras 30,000 mata buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga dekad,” menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.15, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.23, Top Glove menokok satu sen kepada RM6.18, sementara PChem turun dua sen kepada RM7.54 dan Tenaga susut 19 sen kepada RM9.99.

Bagi saham aktif, ARB Bhd meningkat 3.5 sen kepada 37 sen, DGB Asia dan Dagang Nexchange masing-masing naik 1.5 sen kepada 11 sen dan 55 sen sementara Techna-X turun satu sen kepada 16.5 sen dan Luster Industries kurang setengah sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 8.6 mata kepada 11,745.47, Indeks FBMT 100 meningkat 5.0 mata kepada 11,446.11 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 0.68 mata kepada 13,210.89.

FBM 70 melonjak 45.76 mata kepada 15,397.61 dan FBM ACE susut 3.4 mata kepada 11,227.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.89 mata kepada 15,135.85, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.31 mata kepada 182.12 sementara Indeks Perladangan turun 1.06 mata kepada 7,194.84.

– BERNAMA


Pengarang :