Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan St Monica menyesuaikan diri dengan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP) menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Murid Tahun Satu, Dua seluruh negara gembira kembali ke sekolah

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Selepas hampir dua bulan sesi persekolahan 2021 secara bersemuka ditangguhkan akibat peningkatan kes Covid-19, hari ini murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara menyarung kembali pakaian seragam dan melangkah penuh semangat pada hari pertama sekolah.

Walaupun negara masih dihimpit dengan kes harian Covid-19 yang tinggi, kelihatan murid-murid hadir dengan tenang tanpa sebarang ragam seperti tahun-tahun sebelumnya, mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati murid-murid yang ditemani ibu bapa mereka mula tiba di perkarangan sekolah seawal 7 pagi, menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman selain memakai pelitup muka pelbagai warna dan corak ketika beratur sebelum memasuki kelas.

Ibu bapa yang ditemui berharap pembukaan sesi persekolahan kali ini berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan semula serta SOP yang ketat agar murid-murid terhindar daripada sebarang jangkitan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menggerakkan beberapa pasukan unit kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan semua sekolah di daerah Sentul mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya terdapat 24 sekolah menengah dan 50 sekolah rendah yang akan dipantau sebelum sesi kelas bermula sehingga selesai sesi persekolahan.

Di PUTRAJAYA, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah agar mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) mendapati pekarangan sekolah kembali sibuk seawal 7 pagi dan sekumpulan murid yang berpakaian anggota bomba, juruterbang, doktor dan polis juga berdiri di depan pagar memegang plakad ‘Selamat Kembali ke Sekolah’, ‘Jaga Jarak Fizikal 1 Meter’ dan ‘Patuhi SOP Selalu’ bagi menyambut kedatangan murid.

Di SELANGOR seramai 208,979 murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua memulakan hari persekolahan pertama secara bersemuka hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor berkata daripada jumlah keseluruhan pelajar, 25,095 adalah murid prasekolah, 93,907 murid Tahun Satu dan 89,977 murid Tahun Dua.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 35,954 murid Tahun Satu dan Dua mula bersekolah. Tinjauan di Sekolah Kebangsaan King George V di Seremban, kelihatan murid hadir memakai pelitup muka selain pihak sekolah merekodkan kedatangan dan melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki perkarangan sekolah.

Di MELAKA, seramai 33,846 murid membabitkan prasekolah, Tahun Satu dan Dua memulakan persekolahan melibatkan 5,357 murid prasekolah, 14,589 murid Tahun Satu dan 13,900 murid Tahun Dua.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka ACP Mohd Hedzi Hussin berkata seramai 238 pegawai perhubungan sekolah (PPS) ditempatkan di sekolah kebangsaan di negeri itu bagi memantau pematuhan SOP dan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah dalam norma baharu.

Di PULAU PINANG, seramai 42,637 murid Tahun Satu dan Tahun Dua memulakan persekolahan di negeri itu.

“Semua mereka memulakan persekolahan hari ini di 271 buah sekolah termasuk sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, SK Pendidikan Khas dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) rendah,” kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Mohamad Abd Wahab berkata seramai 54,908 murid Tahun Satu serta Tahun Dua, dan 16,803 murid prasekolah memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di seluruh negeri berkenaan.

Di PAHANG, seramai 50,143 murid Tahun Satu dan Tahun Dua direkodkan memulakan sesi persekolahan hari ini dengan 25,530 daripada jumlah itu melibatkan murid Tahun Satu.

Murid-murid di SK Pelindung, Kuantan kelihatan ceria di hari pertama sekolah dengan memakai pelitup muka pelbagai corak seperti gambar watak adiwira dan kartun.

Selain itu, murid sekolah berkenaan turut mendapat botol air dan beg sekolah yang diedarkan di hadapan pagar sekolah, sumbangan daripada pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Di SABAH seramai 94,450 murid Tahun Satu dan Tahun Dua memulakan sesi persekolahan di 824 sekolah rendah di seluruh negeri itu. Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Mistirine Radin berkata seramai 27,767 murid prasekolah turut memulakan sesi persekolahan.

Di KEDAH seramai 73,198 murid prasekolah, murid Tahun Satu dan Tahun Dua memulakan sesi persekolahan. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata pecahan itu melibatkan 12,683 murid prasekolah, 30,339 murid Tahun Satu dan 30,176 murid Tahun Dua di seluruh negeri itu.

Di TERENGGANU, seramai 43,948 murid Tahun Satu dan Tahun Dua mula bersekolah secara bersemuka di 352 sekolah rendah manakala 10,664 kanak-kanak prasekolah mulakan sesi pembelajaran di 316 institusi seluruh Terengganu.

Di PERAK, tinjauan di SK Cator Avenue kelihatan ibu bapa memerhati dari luar pintu pagar sekolah gelagat anak mereka yang menunggu giliran untuk masuk ke kelas masing-masing sebelum sesi pembelajaran bermula.

Seorang bapa, Saiful Bahari Noorjiaudin, 32, dari Ampang di sini berkata anak tunggalnya, Irfan, 6, sangat teruja untuk memulakan sesi persekolahan prasekolah.

“Saya rasa bersyukur akhirnya sekolah dibuka kerana anak saya lebih suka belajar di sekolah berbanding pelaksanaan pembelajaran dalam talian,” katanya.

Di JOHOR, SK (P) Sultan Ibrahim mengambil inisiatif menyediakan laluan pandu lalu bagi memudahkan ibu bapa menurunkan anak-anak mereka di sekolah, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Tinjauan Bernama mendapati, sekolah yang mempunyai seramai 314 murid Tahun Satu dan Tahun Dua serta 25 murid prasekolah itu turut menggunakan maskot animasi “Pinkfong” untuk menyambut ketibaan mereka semula ke sekolah sekali gus memeriahkan suasana.

– BERNAMA

 


Pengarang :